RSS

4C ZURIAT

CERPEN : ZURIAT


“Mengapa adakalanya kita merasa terpaksa membuat suatu keputusan yang bukan atas kehendak naluri insaniah? Ada juga antara keputusan yang terpaksa kita buat disebabkan soal kemanusiaan. Banyak yang telah berlaku sehingga meminta harga atas apa yang menjadi akibat dan sebab kepada keputusan yang telah kita buat. Adakah salah keputusan yang kita buat? Namun adakala salah jika keputusan tidak di buat. Kadang-kala terfikir mungkin ini Takdir hidup manusia di alam fana ini. Kadang kala kita kurang memahami kerana kita kurang menggunakan kebijaksanaan yang ada pada diri kita sendiri. Kita kurang berfikir soal keinsanan, lebih suka mengejar kemewahan dunia dari bersedekah secubit doa untuk kesejahteraan mereka yang telah lama pergi. Kita kurang melihat sikap dan cara diri kita sendiri, kerana bila kita meminta sesuatu yang amat diingini tidak terjadi seperti yang dirancangkan.”

Satu faktor adalah dia kurang beramal ibadat selama ini jadi inilah balasan yang perlu di terima. Itu satu sebab mengapa hingga kini dia tidak mengerti kehidupan ini yang kurang adil untuknya. Fikirnya…dia tidak tahu tindakan lalunya mempengaruhi kehidupan masa kini. Balasan Tuhan secara halus tanpa terasa natijahnya. Bila direnung, mengapa dulu dia mengikut perasaan? Mengapa sukar untuknya mengakui kebenaran. Hanya ini yang ada untuknya. Sekurang-kurangnya dia memilikinya zuriat ini dari mereka yang telah bertahun menanti sinar tak kunjung tiba. Namun, mengapa dia masih juga menyalahkan takdir hidupnya? Andai boleh di tukar ganti pasti dia ingin berjual beli tetapi sayangnya nilai yang perlu dibayar tidakk setimpal dengan apa yang diperolehi. Disebabkan apa yang akan terjadi, akan mempengaruhi masa depannya. Ya! Masa depan?! Mungkinkah akan ada lagi suratan selain ini? Atau cukupkah hanya ini rezeki yang Tuhan berikan kepadanya. Dia merenung Sue di sisi yang sama setia menanti sejak awal petang lagi.

“Abang Qas, apa yang dimenungkan lagi?” Adik iparnya menyoal.

“Tidak ada apa-apa.” Dia termenung sejenak dan bersoal jawab dengan fikirannya lagi. Agak sukar juga untuknya menepis segala persoalan.

“Kalau tidak ada apa-apa, kenapa sejak tadi asyik mengeluh.” Sue masih belum mengerti keinginan hati yang jauh di lubuk perasaannya.

“Abang risaukan kakak Tina Sue tu, belum ada perkembangan lagi.” Dia menyembunyikan keresahan yang dialaminya sejak awal. Sudah lebih sejam dia duduk menunggu tanpa perkembangan keadaan isterinya di dalam.

“Macamlah abang tak biasa.” Balas Sue yang sudah sering ada tiap kali kakak Tina melahirkan zuriat abang iparnya itu. Menemani Qasry, sedikit sebanyak mengurangkan keresahan di hati lelaki itu yang dilihatnya sejak dari tadi tidak menentu.

“Bukan abang tak biasa….” Balas Qasry.

“Yalah, Sue faham. Kakak tak pernah ditahan dalam wad selama begini. Sue pun risau jugak. Manalah tahu ada apa-apa yang berlaku pada kakak.” Beritahu Sue sama bimbang keselamatan kakak Tina.

“Harap-harap tidak ada apa-apa.” Seketika mereka senyap. Dia melayani peta fikirannya. Ada keresahan, ada ketakutan. Dia tunduk merenung jari kakinya.

Dia mula takut untuk kehilangan Tina, isterinya. Mungkin ada baiknya Tuhan mengurniakannya zuriat yang sama setiap kali untuk menguji kesabarannya dari kehilangan seorang isteri. Dia tidak mampu untuk menguruskan walau seorang anak apatah lagi membesarkan anak-anaknya sekarang tanpa Tina. Dia tidak tahu malah dia kekok. Dia sayangkan Tina. Dia sering menyalahkan Tina sebagai sebab mereka mendapat zuriat begitu. Dia mahu Tina tahu selepas ini dia tidak akan lagi menyeksa fikiran isterinya dengan kata-kata yang amat jelek. Dia mula sedar kini, mengapa dulu dia sering mementingkan diri, menjadi duri dalam daging sendiri? Dia berjanji untuk berubah, kemudian dia tersentak…

“Ada apa?” Soalnya resah kepada Sue, bila melihat jururawat keluar dari bilik pembedahan yang menempatkan Tina di dalamnya.

“Akak ada masalah sedikit untuk melahirkan.” Beritahu Sue yang baru kembali duduk di tepinya selepas bertanya kepada jururawat tersebut. Kemudian jururawat yang tergesa-gesa itu di tahannya pula.

“Apa masalah isteri saya?” Soalnya terdesak.

“Diharap encik dapat bersabar. Isteri encik sukar melahirkan anak secara normal dan kami sedang berusaha untuk membantunya. Mengikut doktor, kiranya suntikan tidak membantu, isteri encik terpaksa dibedah. Dan risiko adalah tinggi.” Beritahu jururawat berkenaan tergesa-gesa.

“Di bedah?!” Ujarnya terkejut. Jururawat berkenaan berlalu, meninggalkannya kembali merenung dalam keinsafan mengingati perbuatannya beberapa bulan yang lepas.


“Sampai hati abang.” Tina sedang menangis kerana kata-kata kesatnya. Mereka baru sahaja balik dari Hospital untuk pemeriksaan jantina anak. Keputusan itu amat mengecewakannya.

“Tina minta maaf kerana tidak dapat memenuhi kehendak abang. Ini saja rezeki yang Tuhan berikan kepada kita. Kenapa abang sampai hati kata macam tu?” Dia diam membisu. Rasa bersalah melepaskan tekanan perasaannya kepada Tina. Keputusan scan menunjukkan jantina anak yang sedang di kandung Tina kali ini masih anak perempuan. Bermakna masuk kali ini adalah anak kelima perempuannya. Dia tertekan.

“Tina juga ingin memenuhi harapan abang. Tina tahu ia penting dalam hidup keluarga. Tina tahu abang rindukan tangisan anak lelaki. Tapi Tina tidak dapat berbuat apa-apa andai semuanya telah ditakdirkan begini.” Ujar Tina masih pilu

“Sampai bila Tina?” Kasar ungkapan yang diberikannya. Dia masih dibayangi kekusutan sejak awal tanpa peduli perasaan kecewa isterinya itu.

“Jika abang tidak dapat bersabar, Tina rela abang kahwin lagi tapi lepaskan Tina. Tina tidak sanggup bermadu. Mungkin rezeki abang dengan Tina hanya anak perempuan sahaja.” Cadangan Tina membuat kemarahannya meledak. Tina tahu dia tidak akan sekali-kali menceraikan isterinya itu, hanya ajal yang memisahkan mereka.

“Agaknya sampai bila-bila abang tetap kempunan.” Sambungnya berlalu sambil merungut. Tina yang ditinggalkannya menangis.

Sepanjang dua bulan yang lalu, dia membiarkan isterinya tanpa jagaan yang baik. Tina membuat segala perkara dan dia tidak mahu mengambil tahu. Hal hospital dan kesihatan Tina dibantu oleh Sue, adik iparnya itu tanpa tahu cerita sebenarnya, Tina bijak menyembunyikan masalah mereka. Dia masih merajuk walaupun dia tahu jantina anak ditentukan oleh pihak lelaki. Bapa mempunyai sperma XY dan ibu pula mempunyai ovum XX sahaja. Jika yang bertemu itu XX bermaksud anak perempuan dan jika XY adalah anak lelaki. Kesilapan dan kesalahan bukan dari isterinya tetapi dirinya namun mengapa dia memberi tekanan kepada Tina?


Qasry terpinga, dia terbangun dalam kejutan menyentak!

Kemudian dia tersedar ke alam nyata bila tangisan bayi mula kedengaran dari wad pembedahan. Akhirnya penantiannya selama 11 jam sejak 6 petang semalam berakhir subuh ini. Bersama laungan azan suara bayi menangis, namun situasi kelihatan kelam kabut. Dia terpinga-pinga dengan keadaan yang dipamerkan di depannya kini. Apa yang sedang berlaku? Dia cuba menahan seorang doktor, namun tidak berkesempatan. Keheningan amat terasa… apakah ada sesuatu telah berlaku kepada Tina? Oh Tidak!!!

“Doktor… kenapa ni?” Dia menahan sekali lagi kelibat doktor yang melintas laju.

“Isteri encik mengalami pendarahan. Anak encik selamat.” Ringkas kata-kata dari doktor lelaki berkenaan sebelum berlalu. Sue yang tertidur lena di bangku menunggu tidak mengetahui perasaannya ketika ini, keadaan yang kelam kabut langsung tidak mengejutkan adik iparnya itu. Dia melurut rambutnya kasar ke belakang, cuba untuk menenangkan perasaan. Moga Tina selamat! Dia tidak mahu zuriat lelaki! Dia mahukan Tina selamat. Dia tidak boleh tanpa cinta Tina. Dia tidak akan meminta dan mengatakan sesuatu yang sudah dia maklumi Tina tidak mampu untuk memberikan kepadanya. Bukan Tina yang menentukan Jantina Zuriatnya tetapi Tuhan. Dia tersentak dengan bisikan kalbunya!

“Abang, apa yang berlaku?”

“Tina….” Dia terdiam, sepi dan pedih menggambarkan perasaannya ketika ini.

“Kenapa dengan kakak?” Sue lantas berdiri dan ternanti-nanti di luar pintu bilik pembedahan. Dia tidak membalas soalan Sue itu, biarlah Sue mengetahuinya sendiri. Kemudian seorang jururawat perempuan keluar bersama bayi di dukungan. Dia hanya memerhati, jururawat berkenaan menuju ke bilik khas menempatkan bayi yang baru dilahirkan untuk prosedur seterusnya, dia tidak mempedulikan bayi itu apa yang ada difikirannya hanyalah keselamatan Tina. Dia belum dapat mengakui kewujudan anak perempuan kelimanya yang mungkin meragut nyawa isterinya Tina. Sutina…

Setengah jam berlalu…

Seorang doktor lelaki datang menghampiri Qasry.

“Encik Qasry, isteri encik ingin berjumpa.” Dia tercungap. Pada peta fikirannya adakah Tina ingin menemuinya untuk kali terakhir, dia melihat senyuman doktor yang dilemparkan itu sebagai satu tanda Tina akan pergi. Sambil memberikannya tepukan semangat doktor itu berlalu. Jururawat yang membawa anak kelimanya itu datang kembali, mereka bersaing di pintu wad yang ditunjukkan oleh doktor tadi. Dia benci melihat wajah bayinya bila memikirkan tentang keadaan Tina. Tina jangan biarkan abang sendiri, jangan tinggalkan abang, abang minta maaf.

“Tina…” Panggilnya menghampiri isterinya yang sedang melelapkan mata. Dia takut Tina tidak akan lagi membuka matanya. Dia menjadi hairan mengapa Tina secepat itu ditempatkan di wad ini.

Tina membuka mata perlahan kemudian tersenyum bahagia. Dia terkesima.

“Tina, abang ni.” Bisiknya perlahan di telinga isterinya menahan gelora perasaan tanpa mahu mempedulikan perbuatan jururawat yang berdiri di sebelah katil.

“Abang.” Dia menunggu kata-kata Tina seterusnya.

“Anak kita bang, abang gembira?” Tina merenungnya. Dia tidak mengerti, dia belum lagi memegang bayi itu. Bagaimana untuknya memberitahu Tina tentang perasaannya. Keegembiraannya hanya wujud selepas melihat Tina selamat. Dia tidak mahu mengetahui selain dari itu. Ketakutan jelas dalam dirinya bila Tina mengalami masalah tadi.

“Asalkan Tina ada di sisi abang selalu, abang tak kisah dapat anak perempuan lagi.” Balasnya, bergurau. Reaksi di wajah Tina sukar dimengertikannya.

“Abang tolong ambil Syed Qassim…” Tina berpaling memberi isyarat kepada jururawat yang sejak tadi berdiri di sebelah katil.

“Syed Qassim?” Soal Qasry penuh tanda tanya. Dia sekali lagi terduga dalam remang keresahan yang melanda hati lelakinya.

“Anak lelaki pertama abang. Syed bukan Syarifah.” Gurau Tina tersenyum, dia berjuang melahirkan dan amat bersyukur mereka selamat, walaupun sejak dari awal dia telah dimaklumkan bayi yang dikandunginya itu membahayakan keselamatannya. Dia tidak dipedulikan Qasry malah tidak dijagai dengan baik namun dia bertekad untuk memberikan yang terbaik untuk suaminya itu. Sejak mengetahui jantina anak tersebut adalah lelaki dia sanggup bergadai nyawa asalkan Qasry tidak terkilan. Dia mahu memenuhi impian suaminya yang satu ini.

“Maafkan abang!” Tina tersenyum memberi isyarat kepada suaminya untuk melaungkan azan. Tina mengerti maksud suaminya itu.

“Anak lelaki ayah!” Ujar Qasry mendukung bayi lelaki pertamanya dalam kesyukuran. Pintu wad terbuka dan meluru masuk keluarga mertua, ibu bapanya dan keempat-empat anak-anak perempuannya Syarifah Qasimah, Syarifah Qasidah, Syarifah Qasiyah dan Syarifah Qasriah. Serta adik iparnya Suraya. Seketika wad menjadi riuh oleh mereka dalam cahaya kebahagian seorang ayah!

“Terima kasih.” Ucapnya tersenyum pada Tina.

Syed Qassim Syed Qasry akhirnya lahir.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS