RSS

PUISI


===========================
------------------------------------------------------
Ombak Memujuk
            Pantai Menangis I
------------------------------------------------------
Deburan ombak menghempas pantai
Tidak pernah berhenti, tidak mengenal penat
            Buih-buih putih tetap setia berkocak
            Pada batu sekeras waja

Aku sendirian menyaksikannya
Sambil merenung fitrah alam yang lain
Mendengar desiran ombak yang seakan sama
Iramanya pagi ini dengan perasaanku

Laut yang luas terbentang
Memberi ilham pada setiap saat
            Pada yang ada keinginannya
            Pada yang ada di dasarnya
            Pada yang ada di permukaannya
            Pada yang ada di dekatnya
            Pada yang ada di mana-mana

Sesekali tempatku berada di sini
Bergoncang, deburan ombak menghempas ganas
Bayu lembut yang bertiup bersama rentak
Alam terasa nyaman dan damai
            Kemudian menyatu dengan jiwa yang sepi
            Menjadi satu wadah pertemuan pertama
Perasaan tenang, andai diri sedang mencari
            Kebenaran kerana terasing di bumi ini

Indahnya nikmat Ilahi pagi ini
Adakah mereka sama merasai
Apa yang sedang aku alami
Mungkin iya, mungkin tidak
Kerana aku sedang sendirian di sisi
Pantai ini mendengar alunan
Irama yang amat mengasyikkan kalbu
Hamparan tak seindah di dada ombak
Dari dasar dan permukaannya
Pelbagai wacanah rupa bentuk
Warna air yang keruh
Menyedihkan…

Suasana pagi yang nyaman ini
Mengingatkan aku tentang MERDEKA?
Kemudian menyusul pertanyaan di benak
Alangkah baik sekiranya aku dapat lagi
Menikmati keunikan ini di pagi lain,
Dapatkah juga generasiku menikmati?
Anugerah Ilahi, jika ketika ini
Ombak memujuk
                        Pantai menangis
==================================
------------------------------------------------------

Ombak Memujuk
            Pantai Menangis II
------------------------------------------------------

Berlumba-lumba ia datang
Cantik memukau mata yang memandang
Terpaku menikmati keindahan yang terhias
Rentak  yang amat menghairahkan
Perasaan yang sepi menjadi riang
            Dari jauh ia datang
            Angkara angin buat durjana
            Namun ….
Ia tetap setia melawan

Anehnya seketika perasaanku
Melihat ia membesar
Melambung ke udara tinggi
Ajaibnya, mengapa ia boleh jadi begitu?
Tiba-tiba…
            Ada debaran ketakutan
            Menguasai ruang pemikiran
            Andainya ia datang menghempas
            Ibarat badai tanpa haluan
            Mampukah aku lari jauh darinya?
            Rupanya ia hanya datang
            Memujuk pantai yang sedang menangis

Kini
Aku tidak lagi keseorangan pagi ini
Aku sedang ditemani
Dari kejauhan susunan bangku
Seorang pengawal anjung dan seorang pakcik
Sedang berbual…
Selang semeja dari tempatku berada
Tempat seawal pagi ini yang tidak berganjak sedikitpun
Seorang lelaki sepi sedang merenung ombak
Mencari kedamaian MERDEKA mungkin?
Pada laut yang luas bersama tangisan pantai
Seirama dengan perasaannya
Renungan lelaki sepi itu yang memberitahuku

Selepas itu…
            Dua remaja datang menghampiri pantai
            Bersama plastik minuman di tangan
            Yang pastinya akan menjadi
“Khazanah” pantai seketika nanti
Mereka duduk di depan lelaki sepi itu
Selang tiga meja dari tempatku
Mereka duduk melihat laut pagi ini
Namun, aku pasti …
Mereka datang hanya untuk duduk santai
Berbual tanpa peduli keadaan lara ini
Seketika aku mendongak semula
Merenung sikap remaja itu
Lantas teringat sesuatu
Lelaki sepi itu telah menghilang?
Aku berpaling mencarinya
Nun jauh di jalan batu bata
Dia telah berlalu
Mungkinkah hatinya telah terhibur
Atau masih lagi belum BEBAS?
MERDEKA? Mengapa?

Jauh terlihat
Kapal-kapal di tengah laut belayar
Pelabuhan utama Bandaraya
Bangunan-bangunan tinggi
Yayasan Sabah, SMC,
Masjid Bandaraya dan
Kehijauan yang masih terasa
Bayu berpuput yang masih sama
Pulau-pulau berdekatan
Di sekelilingku bersama-sama
Menyaksikan pagi ini
           
Ah!  Terpercik air laut’
Aku terkejut dengan kedatangan ombak
Tempias hempasannya pada pantai kali ini
Menyimbah tempatku.
Lantas aku terlupa apa yang sedang
Berlegar di mindaku

Ada bunyi aneh di tengah laut, mataku meliar
Mencari, melihat sebuah bot laju bergaya di tengah laut
Datang dari Pulau Gaya, berpusing
Lantas terlihat rumah-rumah setinggan
Nun jauh di tepi laut sana
Aku memandang arah kiriku
Jalanraya Bandar MERDEKA!

Tiap masa kenderaan lalu lalang
Tidak berhenti, tidak mengerti
Ada yang sedang berlangsung di sini
Ombak memujuk
            Pantai menangis
  

==================================
------------------------------------------------------
Ombak Memujuk
            Pantai Menangis III
------------------------------------------------------
 
‘Rindu Selalu’…
Ungkapan yang ingin aku luahkan pada mu.
Percayalah pada hatiku
Kenapa mempertikaikan perasaanku ini?
            Soalan yang ingin aku tanyakan padamu.

Aku tak pasti di mana silapku
Aku tak tahu apa di hatimu
Kau tak pernah memberi keyakinan
Malah kau meragut kepercayaan
Aku tak mengerti mengapa
Aku masih mahu setia padamu
Masih mahu merinduimu
            Masih mahu terus menunggu
Menantikan kedatanganmu
            Bersama-sama menyaksikan
Menikmati keindahan pagi ini
            Sedangkan aku tahu
Kau sekadar datang dan
Kemudian pergi sesuka hatimu
Kerana itu adalah Takdir untukmu

Aku tersenyum….
Aku sudah mula merasai
Kedatanganmu
            Desiran bayu yang lembut menyapa
            Rasa laut yang mengasyikkan
            Bergulung kau datang
            Tidak sabar untuk menyatakan
            Kau juga rindu padaku

Ombak!
Kau sama sepertiku
Teman setiaku,
Kau mengerti perasaanku
Kemudian kau datang menemuiku
Mencantikkan suasana dengan buih-buihmu
Menghiburkan aku dengan iramamu
Kau sentiasa ada merinduiku
Memberitahuku keinginanmu
Bersama-sama melayari keindahan pagi ini
Menyanyikan aku lagu puisimu
Kerana kau tahu aku sedang menangisi
            TAMAN MERDEKA KINI.





  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Catat Ulasan