RSS

TERGURISNYA SATU PERASAAN

Sinopsis
          Aku adalah seorang insan yang biasa.  Kehidupan yang susah pernah dirasai dan segala yang pernah terjadi padanya dahulu mula menyingkap kenangan lama bersama situasi semasa yang sedang berlaku di dunia.  Aku cuba mengungkapkan perasaan terlukanya dengan keadaan semasa dengan kejadian masa silamnya.  Aku tetap merasa terluka pada saat-saat melupakan, ada insan lain mula mengingatkannya tentang perasaan yang pernah terguris.

Tema
Setiap insan yang dilahirkan dan membesar, tentunya tidak sama perjalanan hidup sejak lahir sehingga ajal.  Apa juga yang sedang kita buat kita tidak akan dapat melarikan diri dari kenangan silam.  Keadaan kejadian semasa membangkitkan ingatan Aku kepada satu perasaannya.  Aku cuba membandingkan kenangan silam dengan keadaan semasa.  Bangkitnya perasaannya kerana ada yang mengungkit kepadanya tanpa disedari.

Mesej
          Setiap insan di dunia ini pernah melalui perasaan yang terguris, kasihan terhadap sesuatu atau seseorang.  Masa tidak dapat memadamkan kenangan hanya meninggalkan secebis serpihan perasaan sebagai insan. Dan, perasaan tersebut akan bangkit sendiri tanpa disedari yang pernah menghantuinya suatu masa lalu. 
          Apapun yang terjadi dalam perjalanan hidup seorang insan, insan itu sendiri yang boleh membawa dirinya sendiri kepada satu kesedaran.  Tiada yang menyuruh dan melarang, tiada siapa yang boleh memaksa.  Semua yang pernah terjadi dan akan dilalui adalah ditentukan oleh diri sendiri dengan keyakinan semua yang terjadi adalah ketentuan Allah S.W.T..

Tergurisnya Satu Perasaan
         
Aku sendirian, duduk di tepi jendela kaca.  Merenung jalan mencari jawapan pada persoalan yang dibangkitkan tanpa sengaja oleh seorang teman.  Baru kini ku sedari sengsaranya perasaan yang ku pendamkan selama ini.  Bila suatu perkara itu memerlukan penjelasan kepada siapa perlu diluahkan.  Siapa yang peduli kerana tiada yang tahu tergurisnya satu perasaan itu lagi.
          Kenapa semua orang kelihatan gembira.  Apakah mataku dikaburi lakonan bahagia mereka semata-mata.  Siapa tahu apa yang sedang bergolak dalam jiwa mereka?  Namun, yang pasti aku sendiri sentiasa menderita.  Kenapa begini perasaanku?  Semua orang mendapat apa yang mereka inginkan mengapa bagiku terlalu sukar.  Tangisan yang baru bermula sukar untuk menidakkan, ianya mengalir laju menuruni pipi tanpa dipinta.  Kenapa mereka kelihatan ‘baik’, kenapa mereka boleh menepis masalah dengan mudah?  Kenapa mereka boleh mendapat apa yang mereka inginkan, kenapa semua bagiku kian menghimpit, rumit terlalu perit.  Aku seakan tidak dapat melarikan diri dari lingkungan rasa tersebut.  Rasa terkilan, kecewa jalan kehidupanku begini kesudahannya…
          Entahlah.  Siapa tahu, kerana satu kata-kata yang diucapkan kepadaku kelmarin oleh seorang teman lama.  Ianya mula membuka satu perasaan lama yang kian hilang ditelan masa.  Ia mula menyakitkan hatiku semula.  Ia seakan satu penyesalan yang tidak berkesudahan.  Sejak akhir-akhir ini, aku mendapat berita kegembiraan.  Sekaligus dalam bulan Jun ini dua orang teman perempuanku sewaktu sekampus dulu akan menjadi tunangan orang, milik seorang lelaki.  Pada 12 Jun dan 26 Jun yang telah lalu…  Kedua-duanya insan yang mempunyai karektor dan peribadi yang berbeza.  Mereka tidak pernah melupakan diriku.  Aku sahaja yang sengaja melupakan mereka semua.  Seorang sahabat baik dan seorang lagi hanya teman seperjuangan lalu.  Aku tahu aku sudah jauh berlari mengejar bayang-bayang sendiri.  Tidak kesampaian dan akhirnya hilang dalam kegelapan.
          “Assallammualaikum,” Aku mengangkat telefon.  Nombor celcom 013 tidak ku kenali. 
“Wa’alaikumsalam.  Zai, ni.  Mar?” Siapa tiba-tiba memanggilku.
          “Zai?” Benakku terbetik dua nama insan yang ku kenali.  Terlalu banyak ranjau dan jauhnya perjalanan sudah ku tempuhi.  Pelbagai ragam dan nama orang ku kenali.  Ada ketikanya aku lupa.  Yang pasti ada dua nama Zai yang ku kenali saat ini, seorang bernama Zainah dan seorang lagi Zainab.
          “Kenal ke?”  Terdengar suara gembira itu semula. 
          “Ya. Zai kan.”  Aku menjawab masih tertanya-tanya yang mana satu.
          “Aku mahu bertunang ahad ini.  Kau datang okey.”  Pintanya mengharap.  Suaranya yang gembira menyatakan perasaannya.  Kemudian aku menyedari siapa dia…dialah Zainah rakan kampusku dulu, dan bukannya Zainab kenalanku.  Satu lagi berita gembira menyapa cuping telingaku.  Mereka mula melangkah ke alam bahagia.  Sedangkan diriku masih mencari erti hidup dan semakin menyendiri…
          “Kau di mana?”  Soalnya lagi kemudian.  Dia tahu aku di mana.  Jauh dari kota kehidupan masa laluku.  Aku tidak menjawab.
          “Kau dapat datang?” Soalnya terdengar hampa, dia mula menyedari aku akan menolak permintaannya. 
Bukannya aku tidak mahu datang tetapi biarlah dia hampa yang pasti aku telah terluka lagi.  Perasaan ini sukar untukku tepis… pasti memakan masa yang lama untuk memujuk perasaan merajuk dihati ini lagi.  Sehingga membawa aku ke sini.  Mencari satu ketenangan abadi.  Namun sehingga kini tidakku temui…
          “Mungkin.     Tahniah.  Kau bertunang di KK?  Kau di mana sekarang?”  Aku tahu dia berharap aku dapat datang.  Kegembiraannya yang tidak dapatku kongsi bersama. 
          “Aku masih di KL.  Hari ini aku balik KK. Jadi, macam mana kau datang?”  Hatiku sayu.  Suaranya gembira, bahagia…
          “Rasanya tak.”  Akhirnya aku menolak sebagaimana aku menolak permintaan sahabat baikku pada 12 Jun lalu.  Bukannya aku tidak mahu datang, tetapi masa dan jarak membatasi langkahku…
          “Kau ada nombor kawan kita dulu?”  Zai masih meminta.  Aku berfikir keras.  Aku tidak mempunyai satupun nombor telefon kawan sekampus dulu.  Yang ada dalam simpananku hanyalah nombor keluarga dan sahabat baikku.
          “Kalau ada kau SMS aku nanti okey.” Zai meletakkan ganggang.  
Aku tersentak.  Menitisnya airmataku lagi menyedarkan aku berada dimana saat ini.  Aku berada di sini, di jendela kaca usang teman sepiku… Aku menarik nafas menenangkan perasaan.  Jendela kaca menjadi teman di kala aku ingin bersendirian.  Persoalan demi persoalan yang memerlukan jawapan… Menyingkap apa yang pernah terjadi di masa laluku.
Jiwaku semakin pilu..sengsara.  Sengsara, segala-galanya terlalu sukar untukku padamkan.  Kenapa aku juga yang kelihatan aneh.  Kenapa layan aku begini.  Kenapa aku jadi begini.  Kenapa semua ini mesti berlaku padaku.  Akukah yang terlalu berlembut hati dalam kekerasan peribadi.  Ketegasan kata-kata seseorang tidak menggambarkan bentuk hati dan peribadinya  yang sebenar.  Aku semakin tidak faham, bingung, keliru, bercelaru.  Satu saat lalu, dunia pernah meratapi kejadian bencana dasyat Tsunami yang melanda Asia dan ia masih terasa di sanubariku juga.  Seakan sama dengan perasaanku.  Aku meratapi kesilapan yang aku pilih sendiri.  Aku tidak sengaja dan aku tidak pernah menduga ianya kian membebani perasaanku.  Ianya kian membebani kehidupan masa depanku.  Kerana jalan ini yang aku pilih. Kenapa jalan ini yang perlu aku lalui.  Kenapa mesti ini yang menimpa padaku.  Adakah aku terlalu ‘baik’ sehingga ada sesetengah insan mengambil kesempatan.  Tidak cukup lagi masa lalu sebagai pengajaran buatku sekarang?
          Ah.  Sukarnya menjawab semua persoalan yang telah dibangkitkan.  Kebencian dan kesengsaraan menjadi satu.  Mereka tidak tahu apa yang sedang bergolak dalam hatiku.  Apa yang sedang aku pertahankan.  Aku tidak mahu kerana kesilapan suatu pengucapan kata-kata membuatkan aku bukan diriku lagi.  Aku takut untuk melihat penerimaan mereka padaku kemudiannya, bila menyedari semuanya adalah silapku.  Kemarahan yang terkumpul di dadaku perlu dibendung.  Aku tidak mahu menyalahkan mereka atas kesilapan orang lain.
Sedetik, aku meruntun pilu mengenangkan perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu.  Adakah aku kelihatan seperti seorang yang tidak mampu berbuat apa-apa hanya membiarkan segala-galanya yang terjadi di depan mata.  Melihat lakonan mereka.  Apakah aku tidak berhak untuk menilai, untuk bersuara, untuk meluahkan apa yang sedang aku rasa  hanya aku yang memahami kesengsaraan di jiwa. Tangisan ku kian berlagu, tidak mahu berhenti.  Aku terlalu parah untuk meluahkan perasaan yang sudah lama terluka dan kini ia terluka lagi.  Tidak seorangpun yang dapat memahami kehendak dan keinginan diriku.  Aku tidak pernah mendapat apa yang diingini.  Sebaliknya memiliki yang bukannya keinginanku.  Mungkin ini dari diriku sendiri,  kelemahan yang sudah berakar umbi dalam diriku.  Tiada keyakinan lagi.  Silapku juga…
Mengapa hatiku sendiri susah untuk menerima.  Aku seakan patah semangat.  Dulu, insan yang pernah muncul dalam hidupku menjadi satu pelengkap dan pencetus semangat untukku meneruskan perjuangan demi mencapai matlamat.  Aku berjanji akan membuat yang terbaik pada diriku.  Namun, setiap strategi yang diatur, setiap langkah yang di ambil akhirnya aku juga yang silap.  Dan, kesilapan itu sentiasa ada dalam diriku.  Ia menjadi satu perasaan yang mudah terguris…
Kini, aku merasakan segala-gala yang ku miliki semuanya tidak bermakna.  Hilang keceriaan di mata.  Semangat untuk meneruskan perjuangan sudah terputus.  Aku terkapai-kapai kelemasan.  Seorang diri mencari erti dan punca diri.  Mencari makna semua ini, mengapa berlaku padaku.  Mengapa masih menyeksaku?  Belum cukup lamakah masa yang sudah berlalu untuk menyembuhkan rasa itu.  Sebaik sahaja terusik, rasa itu amat menyakitkan.
Tangisan masih berlagu, emosi sukar untukku tenangkan.  Ia bagaikan terbawa-bawa  oleh perasaan.  Gurisan yang tertutup membuka semula hanya kerana satu kata-kata teman kelmarin.  Tekanan kian mencengkam perasaan, bebannya terlalu berat untuk dipikul.  Benarkah silapku?  Mengapa membiarkan aku masih mencari-cari lagi?  Ah.  Kehidupan perlu diteruskan, aku tahu aku gagal mengawal kehidupanku masa lampauku.  Aku terlalu dibawa oleh rasa tersebut.  Sebenarnya aku gagal menguasai kehendak hati sendiri.  Hidup ini terlalu luas untuk diterokai.  Keterlaluan.  Perasaan ini mula menerokai kesilapan silam.  Menyingkap semua kesilapanku pada kisah silam. 
Mereka di sekelilingku hanya ‘suka’ melihat adegan ‘drama hidup’ pentas ‘dunia’.  Mereka gembira bila bahagia, mereka berduka bila menderita.  Mereka akan ketawa bila ‘adegan drama’ memaparkan gelagat ‘lakonan’ yang mencuit hati.  Mereka menangis bila musibah menimpah.  Mereka puas dengan apa yang menimpa dan memenuhi keinginan tanpa mempedulikan perasaan.  Persoalannya apakah aku sendiri atau mereka pernah mengambil iktibar pada yang telah menjadi sejarah. 
Kepalsuan ada di mana-mana.  Kepalsuan tetap bermaharajalela dalam hati mereka.  Kepura-puraan masih hidup, kehinaan tetap segar di sekitar kehidupan.  Hanya diri yang mampu mengubah satu persepsi negatif kepada positif.  Setiap insan memiliki perasaan, tentunya pasti terguris pada yang sedang di pertontonkan depan mata.  Pada saat hati terluka.  Aku tidak sesekali menyalahkan mereka kerana aku tahu dan miliki rasa itu.  Aku tidak akan sesekali menggurisnya, seksanya menepis dan memujuk rasa itu.
Penyelesaian, pencegahan, mampukah berlaku adil pada yang tidak bersalah.  Juga pada yang bersalah.  Benarkah setiap masalah ada jalan penyelesaian?  Melihat pentas dunia yang semakin menghampiri satu fasa iaitu jika boleh diibaratkan sebagai ‘KRITIKAL’.  Mengapa tindakan hanya dibuat pada saat-saat genting, pada saat-saat kita sudah lupa diri.  Pada saat kita alpa sebagai seorang manusia berperikemanusian.  Pada saat kita enggan mengakui kesilapan lalu.  Itu yang berlaku padaku…itulah keperitannya.
Meneroka, meninjau dan memerhati serta menjalani laluan hari-hari mendatang membuat aku sering berfikir, ianya amat mengguris satu perasaan halus di sanubariku.  Perasaan yang telah sekian lama terpendam dan ditanggung sendirian.  Terseksa dalam sekam.  Masa tidak menunggu untuk menghentikan satu hirisan luka yang pernah berlaku.  Siapa akan mengerti?  Siapa yang mampu menahan?  Siapa yang harus dipersalahkan.  Akukah?  Diriku sendiri?  Setiap saat ia sentiasa menghantui rasa kian bersalah dan tidak menginginkan semua tersebut terjadi.
Tangisan tidak pernah berhenti, keluhan sukar dihamburkan, mulut pula enggan berkata-kata.  Perasaan juga sukar dijelaskan.  Siapa yang benar dan siapa yang bersalah?  Sentiasa pertanyaan yang sama berlegar difikiran.  Apakah semua kesilapan tersebut berpunca dari diriku?  Berbanggakah mereka melihatku ‘jatuh’.
          Ah.  Semuanya hipokrit. Pembelit. Pembohong dan tidak serik, sanggup memusnahkan sebuah hubungan.  Perkataan yang sesuai untuk dilabelkan kepada mereka.  Manusia bertopeng. Lembut gigi dari lidah bila bersuara.  Benci… sesungguhnya kebencian untuknya tiada siapa yang dapat menjelaskan.  Siapa peduli akan kebenarannya?  Manusia mudah percaya pada yang dilihat, yang nyata didepan mata.  Sebaliknya mengaburkan mata pada yang hakikat yang tersembunyi pada tersirat.
          Keperitan. Kesengsaraan. Kesusahan. Kedukaan. Siapa yang mahu mengerti?  Siapa yang ingin peduli?  Sinis, benarlah kata-kata ‘masa gembira ramai teman bila berduka teman kesunyian.’ Tiada yang sanggup mendengar satu luahan, manusia suka pada yang mudah.  Di mana jalan kesudahannya?
Di jendela usang yang sentiasa menemani sunyiku.  Aku meratapi satu penyesalan, sesungguhnya sudah terlewat untukku menyedari kesilapanku.  Aku ditinggalkan sendirian sebenarnya kerana silapku juga.  Aku boleh memilih untuk ke mana-mana ceruk rantau atau orang sesuka hatiku.  Aku boleh pergi dan datang sesuka hatiku.  Aku bebas untuk memilih apa yang aku suka dan apa yang aku mahu.  Tetapi aku tidak boleh mengawal keadaan yang pernah berlaku pada hidup masa laluku. 
          “Manusia ‘suka’melihat ‘adegan’ drama ‘hidup’ pada ‘pentas dunia’.”
 Aku tiba-tiba menyedari, sebenarnya bukan semua insan bahagia, bukan semua insan mendapat apa yang diinginkan.  Ada juga insan yang lebih sengsara dan menderita dariku tetapi hampir setiap insan yang menerima dugaan dengan terbuka akan menjalani kehidupan ini dengan gembira.  Redha, tawakkal dan sabar dengan ketentuan Allah S.W.T.  Aku meratapi sesuatu yang pernah berlaku dan kian berlalu.  Tetapi Aku juga tidak boleh terus meratapi pada yang telah menjadi luka.  Ianya sudah berlaku.
Insyallah.  Aku cuba mengubah satu persepsi yang salah selama ini menjadi tanggapanku.  Insyallah.  Aku akan berusaha menjadi seseorang yang sederhana dan berpuas hati dengan apa yang sedang aku miliki. Sesungguhnya aku bersyukur pada Allah S.W.T kerana memberi aku ruang untuk terus bertanan, untuk terus menjalani kaki-kaki langit kehidupan.  Hanya pada Allah S.W.T. ku berserah kerana menyedari perasaan kesepian ini tidak mungkin akan hilang. Dengan itu, aku perlu bersedia, setiap saat akan ada sahaja insan  tanpa menyedari membuka rasa luka itu.  Aku tentunya tidak akan menyesal kerana sudah menerima itulah suratan untukku.  Dan, tidak akan tergurisnya satu perasaan halus di hatiku lagi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Catat Ulasan