RSS

Nul Kembali


Nul Kembali
Sesudah pemergian Nul bertahun lamanya, dia datang kembali.  Dia kembali menagih sesuatu yang selama ini dilupakan, sesuatu yang tidak pernah dipedulikan olehku, juga sesuatu yang tidak pernah dituntut selama ini.  Aku tidak terfikir langsung untuk mengulang apa yang pernah menjadi igauan semalam.  Apakah aku mampu berdepan dengannya lagi, yang pasti tangisan akan berulang lagi.  Setelah begitu banyak yang aku lalui, keperitan tanpa khabar darinya masih terasa, dia sentiasa berlegar di minda tidak kira ketika dan sesaat masa, akan muncul dibenakku membentuk satu sendu rindu sepanjang pemergiannya.  Untuk apa sebuah tangisan yang tidak membawa perubahan?
Aku merenung dirinya, terkejut.  Dia datang untuk apa?  Lantas kenangan lalu sebelum pemergiannya menerpa semula…selepas pertengkaran demi pertengkaran mulut!
“Aku akan ke Jepun!”  Dia membuka bicara, Aku terdiam lama…
“Aku tahu kau tidak akan setuju, tetapi ini adalah kehidupan yang akan aku tempuhi pada masa depan, ia adalah berdasarkan keputusan masa kini yang aku ambil.  Harap kau mengerti!  Aku telah membuat keputusan untuk ke Jepun!”  Kami duduk di bangku taman.  Taman yang sunyi dari suasana kebisingan.  Masih belum ada pembangunan dibuat di kawasan ini.  Masih terasa aman akan kehijauan, sedap mata memandang, nyaman. Dia tunduk merenung rumput padang sambil melafazkan kata-kata menusuk hatiku.  Dia akhirnya membuat keputusan untuk pergi jauh dan meninggalkan aku di sini.  Dia akhirnya tidak mahu memikirkan tentang diriku lagi atau dia sudah penat bertekak denganku kerana hal ini.  Maka keputusan ini diberi. Aku diam membisu, ini lebih baik dari membalas kata-katanya, keputusannya sudah muktamad. Aku yakin dengan bulat hati dia akan pergi juga tetapi tidak pasti akan kembali atau tidak, ikut keputusannya…
“Kau tak mahu cakap sesuatu?”  Dia melihatku tenang.   Aku takut bersuara, aku tidak mahu memulakan api pertengkaran dengannya seperti selalu.  Aku mengelak untuk mengeruhkan perasaannya.  Aku mahu dia pergi ke Jepun dan mencapai impiannya dengan tenang dan bahagia walaupun aku sengsara dengan keputusan itu.
“Cakaplah sesuatu, sebelum aku pergi jauh!”  Desaknya.  Dia tidak sanggup melihat aku membisu tetapi dia sanggup meninggalkan aku di sini.  Aku pilu…
“Jangan buat aku menunggu begitu lama.  Cukuplah apa yang berlaku selama ini. Aku mahu mendengar keputusan kau?” Kata-katanya bermaksud sesuatu, aku mahu memikirkan apa yang sedang ku rasa tetapi aku takut rasa itu semakin menyeksaku nanti.  Aku selalu ingat, betapa dia penting dalam diriku, bertanya siapa aku dengannya?  Adakah diriku bermakna padanya?  Namun, jawapan sukar untukku tahu, dia bijak bermain dengan kata-kata.
“Apa kau mahu aku katakan?”  Akhirnya soalan ku utarakan.  Aku sudah penat bermain dengan kata-kata, fikiranku sudah sarat dengan pelbagai persoalan.  Untuk apa penjelasan berjela bila akhirnya kelukaan tetap milikku.  Apakah bahasa yang aku gunakan selama ini belum cukup menyakinkan dia?
“Apa-apa sahaja, berkaitan hubungan kita selama ini.”  Aku menghela nafas.  Apa lagi yang boleh aku katakan, sebelum ini sudah puas kami bergaduh.  Bertengkar banyak perkara,   Aku tidak mahu bertengkar tetapi dia tetap mendesak pada saat fikiranku sedang bercelaru!  Dia juga tetap mempersoalkan hubungan kami.  Sehingga aku muak dan enggan bercakap mengenainya lagi, untuk apa membuka rahsia hati bila akhirnya tidak dipeduli? Keputusan telah dibuat, malah telah diberitakan kepadaku.  Dengan gembira dan tenang dia menyampaikan keputusannya untuk ke Jepun.  Dia menerima tawaran bekerja dan terus menetap di sana tanpa aku.  Apakah selama ini, kehadiranku hanya memenuhi ruang lingkup ekosistem hidupnya, rantaian kehidupan masing-masing yang saling memerlukan?  Apakah dia memang mahu melupakan semua?  Aku tidak pasti.  Apakah selama ini belum cukup usahaku lakukan untuk menyatakan betapa aku menganggapnya lebih dari kawan.  Butakah dia?
“Kau sudah buat keputusan, untuk apa pendapat aku.  Tiada gunanya lagi kau mengetahui apa yang aku fikirkan tentang hubungan kita.”  Buat apa dia mahu ambil tahu tentang hubungan kami selama ini jika nanti dia akan pergi.  Dia sanggup meninggalkan aku di sini menyatakan padaku, dia tidak akan kembali lagi? 
“Aku mahu tempat aku masih terisi bila tiada di sisi kau lagi, apakah kau akan ingat aku lagi atau tidak.  Atau kau akan terus melupakan aku setelah aku pergi?” Cetus Nul.  Dia menolak diriku tetapi masih mahu aku memikirkan tentang hubungan ini.
“Hubungan kita masih bermakna lagi walaupun saat kau membuat keputusan untuk pergi Nul!  Aku sudah memberi tentangan yang cukup hebat agar kau tidak pergi tetapi kau akhirnya mengecewakan!  Apa dayaku untuk menghalang kau?.”  Aku sudah bosan untuk bertengkar, aku sudah tiada rasa itu kali ini. 
“Sekeras itu hati kau, enggan melepaskan aku pergi?”  Sesungguhnya aku tahu Nul mengerti maksudku menghalangnya tetapi dia tidak peduli.  Itu pasti…
“Bukan enggan tetapi kau belum melunaskan sesuatu!  Aku akan ingat diri kau.  Aku cuba untuk tidak lupa pada kau.”   Aku enggan mengalah, kami akan berbalah lagi tanpa henti! 
“Bagaimana untukku melunaskannya jika kau sendiri enggan memberi kerjasama.  Setiap kali aku meminta jawapan kau berikan aku sesuatu yang langsung tiada kaitan.  Bukankah mudah, jawab sahaja pertanyaan aku.  Apakah hubungan kita selama ini?”  Soalnya lagi. 
Soalan yang sama setiap kali kami bertemu dibangku taman.  Aku bukannya tidak mahu memberitahu tetapi hatiku sendiri sangsi, sanggupkah aku nanti menerima keputusannya yang berlainan dari apa yang aku harapkan?  Apa erti perhubungan kami selama ini?  Hanya sebagai kawan atau lebih dari itu?  Aku enggan memikirkan kemungkinannya. 
“Apabila kau membuat keputusan untuk ke Jepun, siapa yang kau fikirkan?”  Soalanku berbaur perangkap!  Aku bertanya walaupun samar-samar jawapan yang akan dilontarkan pada deria pendengaranku. 
“Keluarga aku!”  Noktah! Titik. Tamat! 
Belumpun hilang kekecewaan kerana keputusannya untuk pergi ke Jepun, kini ditambah dengan jawapan penting yang inginku tahu.  Bagaimana aku menjawab soalannya jika dia sendiri memberi jawapan yang melukakan. Akhirnya luka yang dihirisnya kian berdarah, Jawapannya membuat aku menahan tangis!  Aku enggan menghantar pemergiannya dan aku juga enggan mengingatnya. 
Kenapa?  Aku sayu, saat hatiku bertanya sendiri. 
Selepas itu dia terus melangkah pergi, aku tidak lagi sangsi apa sebenarnya hubungan kami padanya.  Aku sering dihantui pertanyaan apakah maksud di sebalik kata-kata akhirnya?  Dia mahu memastikan makna hubungan kami selama ini sebagai jaminan sebelum membuat keputusan?  Rupanya aku yang silap menilai. 
Kerugian masa lalu, masing-masing menegakkan pendirian, enggan mengaku apa yang sedang di rasa.  Sehingga memakan masa yang begitu panjang untuk bertemu semula dan membuat perhitungan.  Siapa sangka perhitungan kali terakhir…
Kenapa dia perlu muncul semula?
“Nul!?”  Aku terkejut menerima kemunculannya yang tidak diundang itu.  Aku baru sahaja ingin berlalu, tiba-tiba pula dia muncul di depan mata dan menghalang langkahku untuk pergi.  Untuk apa?  Aku melihatnya…
“Apa hal?”  Soalku.  Dia merenung meneliti diriku, tidak bersuara.  Kami duduk kembali di bangku yang sama beberapa tahun yang lalu sebelum dia pergi.  Di taman yang sama tetapi dalam situasi yang berbeza, dia masih duduk seperti dulu di tepiku, bersama di bangku di taman ini.  Berbicara…
“Sejak bila kau balik ke sini?”   Aku membawanya berbual.  Dia masih diam.
“Kenapa tidak maklumkan aku?”  Aku tetap seperti dulu, ambil berat tentangnya.
“Kenapa tidak bercakap, dah hilang suara?”  Sindirku melihatnya masih seperti dulu, tidak bersuara tanpa aku merajuk dulu.  Dia merenung kejauhan seperti sedang berfikir enggan membalas kata-kataku.
“Nul?” Desakku.  Hati lukaku mula berdarah, tidak keruan melihat tingkahnya begitu.  Membisu!  Setelah begitu lama dia membiarkan aku mencari arah sendiri, dia kembali tanpa di pinta.  Ada ketikanya aku sedih sendiri, tidak tahu bagaimana untuk menghilangkan terus nama itu dari dalam hatiku.  Ada ketikanya juga aku tidak peduli bagaimana perasaanku sebenarnya setelah dia mengabaikan aku di sini.
“Aku tidak tahu hendak fikir kau siapa, sebagai kawan atau gadis kesayangan aku? Aku tidak tahu!”  Setelah membisu begitu lama, Nul bersuara sendiri bukan sapaan biasa tetapi satu persoalan yang meminta jawapan. Itu suara yang telah lama menghilang dari deria pendengaranku.   Suara yang sering ku rindui untuk mendengar kata-kata bantahannya.
Aku terpana mendengar ucapan kata-katanya.  Suaranya sayu, hatiku terusik!  Setelah begitu lama barulah dia dapat mengutarakan apa yang sedang difikirkannya, apa yang sedang dirasainya, apa yang telah kami lalui sebelum dia pergi.  Tetapi dia masih menyembunyikan makna disebalik kata-kata.
“Aku tak pernah anggap kau sebagai kawan!”  Balasku, Aku merengus marah memikirkan sikapnya kini.  Sesuka itu dia pergi, sesuka itu dia kembali, sesuka itu dia meminta.  Sesuka itu juga dia menyentap segenap lapisan deria dan perasaanku.  Melihatnya dapat aku meneka, dia masih menganggap diriku seperti dulu.
“Maafkan aku, aku memang tidak layak menjadi kawan kau.  Aku banyak buat silap dan rasanya tidak layak juga untuk dimaafkan.”  Aku menjeling, di dalam hatiku kuat memberontak, menidakkan segala pelakuan luaranku.  Hatiku yang lebih parah apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulutnya.
“Sememangnya tidak layak!”  Celuparnya mulut!  Wajah Nul berubah sedikit.  Dan, yang tersayat sakit adalah hatiku sama! 
“Kau sudah jauh berubah, tidak seperti dulu lagi.”  Balasnya menyedari sikapku.  Dia memandangku kini tepat ke wajahku.  Aku tunduk!
“Kau memberiku keputusan seperti kau tidak akan kembali ke sini lagi.  Apa sudah terjadi dengan azam kau dulu? … masa adalah faktor aku lupa siapa aku sebelumnya,”  Sindirku, aku memandangnya, kemarahan yang terlontar membuat aku tidak mahu kalah pada perasaan sendiri.  Dia yang menjadikan aku begini maka natijahnya perlu dia terima.  Disebabkan dia, aku telah melalui hari-hari lalu yang perit.
“Kau benar-benar maksudkan?”  Aku tidak membalas, hatiku kian pilu melihatnya sudah berada di sisi ku lagi.  Persoalan perasaan masing-masing belum terjawab, kami pula mula kembali berbalas kata-kata.  Membahaskan sesuatu untuk menidakkan apa yang di rasa.
“Kau mahu aku melupakan semua ini dengan mudah?  Begitu cepat masa berlalu begitu cepat juga kau berubah!”  Tidak mudah untuknya mengalah, melepaskan aku.  Mendesakku dengan memberi tekanan kata-kata agar aku mengaku.  Begitu mudah, dia memikirkan masa berlalu begitu pantas, sedangkan bagi diriku masa yang berlalu sukar ditempuhi kembali.
“Semudah itu kau pergi dan semudah ini kau datang kembali.  Untuk apa?  Kembali menagih sesuatu? Kau ingat, sesenang itu untukku melupakan semua itu.  Sesenang itu kau mahu aku terima kehadiran kau kembali?”  Sinis ku tuturkan, aku tahu dia terpukul hebat hanya dengan kata-kataku.
“Apakah langsung tiada peluang untuk aku kembali.  Apakah salah aku menagih sesuatu yang hilang dulu?”  Aku tersenyum sinis, tidak mudah menjadi gadis kesayangannya, lebih baik jadi kawan sahaja kerana sering berlaku pencanggahan antara kami!   Lagipun itu kisah lalu, dan sedang berlalu, sudah bertahun lamanya aku tidak rasa ada kawan sepertinya lagi.  Tidak mudah bagiku menerima permintaannya bila dia sesukanya pergi dan kembali.
“Hah! Sesuka hati kau menagih sesuatu?  Yang mana?  Pertama untuk melupakan aku di sini?  Atau kedua, untuk melukaiku lagi? Pertama atau kedua?”  Aku merenungnya tajam memberi kata dua, aku tidak boleh membohongi mataku, aku tahu dari sinar matanya yang layu itu, dia terluka.  Mencari apa yang pernah ditinggalkanya pergi. Tetapi kelukaan yang digurisnya enggan berlalu pergi.  Dia terdiam lagi melihat balasan sinis kata-kataku.  Sepi…
“Kau enggan memberitahuku, kenapa?”  Setelah begitu lama terdiam, dia  menyerangku dengan soalan lalu, dia mengungkit persoalan sebelum dia ke Jepun dulu..  Keengganan aku mengakui   Apakah hubungan kami sebelum ini, membangkitkan keresahan semalam.
“Sebagaimana kau berselindung dariku.”  Aku tidak mahu kalah.
“Aku tidak pernah menyembunyikan apa-apa dari kau.”  Akuinya.
“Aku terima itu sebagai suatu kata-kata.  Kali ini aku tanya kau kembali soalan bertahun yang lalu…apabila kau membuat keputusan untuk ke Jepun, siapa yang sedang kau fikirkan?”  Soalku keras, dia terkesima, tidak menyangka serangan balasku akan menyakitinya.  Aku memulakan pertengkaran lagi.  Persoalan yang selama ini ingin benar ku tahu kebenaran dari dirinya.  Melontarkan perasaan sakit hatiku selama ini kerana ketiadaannya di sisi.
“Kau belum jawab persoalan lamaku?”  Dia berkeras, tidak mahu memberitahuku.  Dia masih begitu. Aku menghela nafas bersedia untuk membalas serangan kata-katanya.
“Bukan sesiapa dan bukan juga kawan baik!”  Sengaja aku menyakitkan hatinya, kembali mengulang jawapan soalan awalnya tadi. 
“Kau pasti?”  Tuturnya yakin namun terluka.
“Positif.”  Tegas kata-kata itu meluncur, wajah Nul berubah lagi.
“Kau tak menyesal?”  Suaranya berubah sayu.  Aku merengus dan ketawa perlahan, tercuit sedikit dengan sikapnya yang tidak mengalah!  Masing-masing menegakkan pendirian, masing-masing enggan mengaku, entah apa kesudahan keputusan kali ini.
“Apa yang mencuit hati?”  Dia melihatku hairan.  Terusik perasaan lukanya.
“Kau menuduhku melindungi perasaan tetapi kau sendiri pun begitu.  Dua kali lima!  Kau belum jawab soalanku tadi.”  Aku mendesaknya, aku mahu tahu.  Apakah dia tidak mengerti maksud tersirat pada setiap patah perkataan yang aku ucapkan.
“Apa?”  Sepantas itu dia lupa… Hatiku tak keruan, mendongkol sedih.
“Kenapa kau muncul semula?” Sindiranku teruskan, belum puas menyakitinya. Dia diam wajahnya keruh mencerminkan kesilapan keputusannya dulu.
“Sememangnya aku sudah jangkakan kita akan begini selamanya, jika kita terus  bersikap begini membuat kita akan terus terluka Nul!  Kau menafikan kehendak kita, keinginan kita, masing-masing dengan sikap berdiam diri, menyeksa sesama kita. Kenapa tinggalkan aku sendiri di sini.  Kenapa tidak pernah memberitahuku, kau sangat mementingkan diriku, kenapa kau tetap menyeksaku setelah kau pergi?”  Aku sudah tidak tahan dengan sikap pura-puranya.  Kenapa dia tidak mahu berterus terang sejak dulu?  Kenapa dia tinggalkan aku di sini?  Kenapa aku yang perlu memulakan dulu?  Perasaanku masih belum puas membalas perbuatannya.
“Aku tidak tahu sikap aku ini melukai kau. Aku tidak terfikir untuk menyeksa kau langsung.  Aku pergi jauh kerana ingat kau tidak akan terseksa kerana aku, tetapi rupanya aku silap menilai.  Kau sentiasa terseksa kerana sikap aku.  Semakin aku fikirkan semakin aku terseksa dengan keputusan yang dibuat dulu, dan bila aku putuskan untuk kembali aku harapkan kau bersedia menerimaku lagi, memberiku kemaafan, tetapi kau tidak memberiku peluang.”  Nul mengaku rasa bersalahnya.  Masing-masing berusaha untuk tidak melukai tetapi secara langsung masih mahu bermain api!  Memendam luka lama semalam…
“Aku tidak meminta untuk berperasaan begini, aku tidak pernah menyalahkan kau, aku juga tidak tahu apakah seksaan ini tidak cukup untuk membuktikan perasaan yang kita miliki.  Kita lupa memikirkan perasaan masing-masing.  Kita lebih mementingkan hati pihak lain tetapi akhirnya,…. masing-masing memilih keputusan sendiri.”  Putusku. Namun, masih belum cukup, dia masih berteka teki atau aku yang tidak dapat menangkap maksud kata-kata awalnya.  Seperti mana dia tidak mengerti setiap butir patah perkataanku sejak tadi.
“Keengganan kau untuk mengaku, hubungan kita lebih dari kawan!”  Tegas Nul.  Dia meminta aku memahami tetapi, dia sering membuat aku terjerat dengan situasi.
“Kau belum jawab persoalanku sejak tadi,….”  Ungkitku kali ketiga, tegas.
“Kau tidak membantu, belum menjawab soalanku.  Apa kata kau, tentang persoalan mengenai hubungan ini sama ada sebagai kawan atau gadis kesayanganku?”  Dia kembali mengutarakan soalan.  Bila bicara ini akan berhenti?  Setiap kali kami akan membangkitkan soalan bertemu soalan.  Dia memberiku dua pilihan, kiranya aku memilih untuk menjadi kawan sahaja, hatiku menolak kuat terguris.  Tetapi untuk menjadi gadis kesayangannya aku tidak tahu apa yang dimaksudkan Nul!?  Aku keliru untuk membuat keputusan.
“Aku terpaksa juga membuat keputusan, maafkan aku Nul.  Aku tidak dapat….”  Dia membantah pantas.
“Mengapa kau berdegil Is, tidak cukupkah seksaan yang kau alami selama ini.  Beri aku jawapan pasti.  Kiranya benar itu yang kau mahu aku akan pergi…”  Aku menghela nafas seksa, melihat dia masih mendesak.
“Walaupun keputusannya nanti akan mengecewakan pihak lain.”  Tidak sepantas itu aku ingin mengakui.  Tetapi dia kelihatan tidak puas hati pada kata-kata balasanku.
“Apa yang pasti, keputusan itu tetap melukai hati sendiri Is.”  Dia mengingatkanku.
“Dulu, aku sering keliru apa bentuk perasaan yang aku alami bila bersama kau, aku kecewa sebaik sahaja kau katakan kau lebih mengutamakan keluarga kau dalam membuat keputusan untuk ke Jepun..  Aku tertanya selama itu, siapa aku di sisi kau?  Aku tidak menyalahkan jawapan yang kau berikan tetapi kau tidak datang memujukku kembali…”  Terangku, harap dia dapat memahami, akhirnya terbuka segala yang menjadi persoalan selama ini namun ia agak terlewat bila wajah itu sudah enggan menerima, jelas menapak kelukaan.
“Kau tidak bersuara Is, kau tidak menahan.  Aku sedang berfikir apa yang bermain di minda kau ketika itu.  Aku mahu kau menidakkan keputusanku dan mengaku tetapi kau membuat kesilapan.  Kau memutuskan untuk membiarkan aku pergi tanpa halangan.  Kenapa?  Kenapa kau membuat keputusan begitu?”  Kenapa mesti membicarakan kisah lalu, kesilapan yang telah usang masih diungkit dan dibahaskan tanpa henti.  Saling menyalahi orang lain?
“Kau salahkan aku?  Kenapa kau tidak tanya diri kau sendiri….Kau datang padaku dan memberitahu keputusan muktamad kau untuk ke Jepun.  Kau mahu tinggalkan aku.  Sebaik mendengar keputusan kau aku sedih.  Aku terpaksa menyokong keputusan kau kerana itu yang kau mahu.  Untuk apa aku menghalang kau lagi?  Sedangkan sebelum itu kita sentiasa bertengkar perkara yang sama.  Kau lihat akibatnya sekarang Nul.  Kita masing-masing menyalahkan pihak lain, kita masing-masing tidak mengakui, bahawa ada satu rasa untuk dikongsi.  Kita masing-masing berdegil.”  Ujarku sayu, telah kalah pada perasaanku lagi.  Airmataku terasa ingin menitis, ku tahan jatuh!  Hati lukaku selama pemergiaannya enggan sembuh!  Entah salah siapa?  Sudah jauh dan lama masih belum selesai!
“Sudahlah.  Aku malas bersoal jawab lagi.  Yang pasti kau telah memberiku satu keputusan lagi…”  Putus Nul berdiri dan pantas berlalu cuba meninggalkan aku sendiri.  Kali ini aku tidak melepaskannya, seketika aku tersedar dan buru-buru menghalang, memberi pengakuan sebenar padanya… tetapi telah terlewat bila tragedi ngeri terjadi di depan mata.
“Keputusan yang menyeksa pihak lain…”  Perlahan terlontar kata-kata dari bibirku, airmata laju mengalir di pipi.  Dia akhirnya menghilang terus, mustahil dia kembali.  Aku tetap terseksa juga walaupun tanpa pengakuan balas darinya, tetapi aku tahu aku terlalu istimewa padanya dan setelah membuka lipatan lalu aku masih terluka juga…
Seketika, pecutan kereta menghasilkan bunyi yang membingitkan sekitar. Aku terkejut!  Aku masih di taman.  Taman yang telah jauh berubah bentuk, namun hatiku masih seperti dulu.  Taman yang memberi tamparan hebat yang pernah berlaku di masa laluku, taman yang sentiasa ku ingati.  Taman yang sentiasa melihat tangisanku selama ini.  Taman yang menjadi teman selama dia tiada di sisiku.  Ada pembangunan pesat di sekitar.  Ada sebatang jalanraya di situ.  Ada perlumbaan hidup! Ada peristiwa pilu...
Sekiranya masa bolehku putar semula, aku akan mengaku dari awal.  Aku sedar, terlalu banyak berkata-kata tiada gunanya jika hanya membawa sesuatu yang tidak menguntungkan sesiapa.  Akhirnya kecewa, dan aku masih enggan membuang kisah nama itu jauh-jauh!  Aku tersedar sudah jauh diriku dibawa lamunan masa silam, sesaat lalu aku meminta sebuah harapan agar dia kembali menagih sesuatu padaku seperti dulu!  Hasnul!  Hatiku membisik lembut nama itu bersama deraian airmata akhir. Di taman ini ku tutup sejarah sebelum kaki melangkah pergi untuk mencari dan membina hidup baru, meninggalkan kenangan kami di sini.
Maafkan Noris!…  Bingkisan akhirku di angin lalu bersama tangisan pilu seorang perindu sepi.  Maafkan Noris!  Noris pergi… membuat keputusan akhir membuang segalanya kenangan yang tercipta antara kami pada masa lalu.  Meninggalkan segala-galanya di sini!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Catat Ulasan