RSS

Ramadhan Pertama

CERPEN  ‘Ramadan Pertama'

Bulan Ramadan adalah bulan ke-9 dalam Kalendar Islam.  Sebut mengenai bulan Ramadan, kita akan teringat tentang puasa.  Selepas berpuasa kita akan beraya pula.  Puasa adalah wajib bagi semua umat Islam yang cukup syarat seperti baligh (cukup umur), berfikiran waras, suci dari haid dan nifas serta berkeupayaan mengerjakan puasa.  Puasa termasuk dalam rukun Islam yang lima, dan maksud puasa adalah ibadat dengan cara menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertakan dengan niat.  Ia wajib ditunaikan selama sebulan dalam bulan Ramadan.”
Dalil wajib puasa seperti firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Baqarah Ayat 183 yang bererti “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa seperti mana diwajibkan kepada orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertakwa pada hari-hari yang telah ditetapkan.”  Aku sedang duduk membaca buku mengenai bimbingan puasa.  Sudah 4 Subuh aku bangun sahur seorang diri.  Seperti biasa harianku sejak di sini, bila aku tidak ada apa yang nak di buat, masa akan ku isi dengan membaca.  Apatah lagi hari sabtu, cuti tanpa ada apa-apa program semasa bulan puasa. Masaku lebih banyak dihabiskan di dalam bilikku dengan membaca. Lagipun batas langkahku tersekat, tiada tempat yang menarik untuk dikunjungi di sini! 
            Puasa kali ini, adalah Ramadan pertama aku sendirian di sini.  Jauh dari keluarga namun aku tetap gembira mengerjakan puasa seperti tahun-tahun yang lalu.  Kegembiraan yang selama ini ku nantikan dan tercari-cari maksud tersirat dengan peristiwa silam.  Tidak sangka begitu cepat masa berlalu, aku sudah dewasa dan matang.  Usikan rakan-rakan sekerja sesekali menerjah gelombang otakku.  Kadang kala mereka mengaitkan puasa sebagai bulan untuk menguruskan badan!  Aku tersenyum… menggeleng-gelengkan kepala mengingati gelagat mereka.  Sekiranya mereka mengalami apa yang pernah aku alami sedetik waktu dulu, tentunya mereka akan menghargai nikmat berpuasa ini tanpa bergurau perkara yang bukan-bukan, Hmm… Manusia!  Rambut sama hitam, hati lain-lain.
            Bila datangnya bulan Ramadan, tentulah bagi seorang kanak-kanak yang belum cukup umur sentiasa mengingatkan tentang Hari Raya selepas berpuasa walaupun tidak sepenuhnya namun kanak-kanak penyumbang kepada kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.  Waktu tu umurku belumpun baligh lagi… dalam semua orang sibuk mengerjakan ibadat puasa, aku juga tidak ketinggalan untuk belajar merasai perasaan menahan lapar dan dahaga pada waktu siang di mana waktu persekolahan juga berlangsung.  Entah kenapa aku seronok sangat dapat bersahur?  Namun, diriku ada halangan untuk berpuasa tetapi aku bersemangat untuk bangun sahur dan berpuasa juga siangnya.
Setiap hari aku seronok mengerjakan puasa kerana cemburu melihat rakan-rakan seumurku berpuasa, dan aku akan berpuasa walaupun sekerat hari.  Waktu tengahari adalah waktu yang sukarku lepasi kerana perlu berbuka disebabkan kemampuan dan daya tahan badanku yang lemah, kata ibu jika tidak dapat berpuasa sehari cukuplah sekadar dapat belajar menahan lapar dan dahaga sehingga tengahari sahaja.  Aku belum memahami sangat tentang kewajipan puasa.  Aku cuma mengikut apa yang diajar oleh emak sejak kecil.  Lagipun aku tidak dapat bertahan hingga ke petang.
Malamnya, aku akan berpakat dengan rakan-rakan sekampung ke masjid, untuk menunaikan solat Tarawih bersama-sama ayah masing-masing.  Walaupun tidak berapa faham tetapi kerana keseronokan bersama rakan-rakan membuatkan aku pergi juga.  Kami bukannya tahu sangat tetapi riuh-rendah suara kami bercakap-cakap, namun kami dinasihatkan juga menghormati masjid.  Semasa mengerjakan solat Tarawih kami senyap mengikut tertib dan akan membuat bising ketika sedang perjalanan datang dan balik dari masjid sahaja.  Sememangnya satu kegembiraan untuk seorang kanak-kanak untuk melalui hari-hari yang bahagia ini!  Namun tidak begitu bagiku…
“Hari ini kau puasa penuh ke?”  Soal Ida sepupu ku.  Seperti biasa kami berjalan pulang beramai-ramai dari masjid.  Orang dewasa juga beriringan bersama dalam kumpulan sambil berbincang entah topik apa?  Keadaan kampong yang belum moden dan masih daif tetapi penuh dengan keharmonian bila semua penduduk datang dan balik hanya dengan berjalan kaki dari masjid, meriah bersama-sama anak-anak mereka.
“Tak!” Ujarku sedih, dapat berpuasa penuh memang seronok.  Tetapi sejak dulu aku tidak mungkin boleh.  Badanku tidak dapat menampung, sistem daya tahan tubuhku lemah dan aku mudah dijangkiti sakit teruk jika terlalu lama berlapar.  Sakit yang akan membuat aku dimasukkan ke wad berhari-hari.
“Kau pulak?”  Soalku kemudiannya.  Ida mengangguk.  Rumah Ida dan aku berdekatan saja dan kami memang rapat sangat.  Macam adik-beradik.
“Esok macam mana?  Kau puasa juga?”  Soal Ida, dia tahu aku tidak boleh memaksa diri berpuasa penuh sehari.
“Mestilah walaupun setengah hari tapi, seronok sahur bersama-sama keluarga.”  Aku berkata dalam nada gembira, walaupun mengantuk tetapi waktu sahur adalah paling ku nantikan.  Aku merasa seronok bersahur tetapi hakikatnya aku sedih tidak dapat berpuasa penuh walaupun sekali.
“Kau tahu tak, kakak aku tidak berpuasa sejak kelmarin.”  Tertanya-tanya juga kenapa kakak Ida tidak berpuasa walaupun baru seminggu sahaja umat Islam berpuasa.
“Kenapa?”  soalku penuh minat.
“Entah! Aku tanya dia tak jawabpun… malah marah-marahkan aku.”
“Rugilah…”  Hm… itu jawab Ida.  Dan kami berpisah lagi.  Sesungguhnya naluriku menyatakan keinginan hati untuk berpuasa penuh sehari saja, bila akan tiba masa itu? Namun apa dayaku.  Betapa bertuah kanak-kanak seusiaku, dapat berpuasa penuh dan merasai nikmat puasa.  Sedangkan aku hanya mampu mendengar keseronokan mereka bercerita.  Kadang kala aku menangis sendirian siapa yang mampu mengerti keinginan mendalam hatiku?
“Noris!” Aku terpisat-pisat memandang sekeliling, rupa-rupanya itu cuma igauan masa laluku.  Tiada seorangpun ahli keluargaku di sisi.  Itu panggilan ayah padaku ketika membangunkan aku untuk bersahur, sudahku katakan kepada ayah walaupun aku tidak dapat berpuasa sehari tetapi aku mahu merasai waktu bersahur bersama-sama keluarga.  Kali ini Ramadan Pertama aku di sini mengerjakannya sendiri dan tiada kata-kata nasihat ayah, tiada kata-kata tegahan ayah, dan tiada kata-kata suruhan ibu.  Itu tidak boleh ku buat, ini tidak boleh ku sentuh, yang itu jangan, kau mesti begini, dengar cakap.  Kau tidak boleh puasa penuh, tengahari mesti berbuka.  Antara bait-bait kata-kata nasihat mereka yang seringku dengar.
Sebelum aku dihantar ke sini untuk bertugas pun, berjela pesanan dan nasihat untukku. Dan ketika Ramadan kali ini sudah tentulah aku menerima panggilan telepon supaya tidak terlalu memaksa imunisasi badanku sendiri.  Mencabar kemandirian diriku.  Mereka tak perlu risau, aku sudah dewasa dan matang, tahu apa itu erti risiko.
Aku meneruskan pembacaan yang terhenti tadi sambil tersenyum lega…
Setiap mukmin wajib berpuasa dalam bulan Ramadan dan ini memberi dua kegembiraan iaitu ketika waktu berbuka dan waktu bertemu Allah di akhirat kelak.  Allah mengampunkan dosa dan memberi ganjaran kepada orang yang berpuasa.  Puasa bukan sahaja berlapar dan dahaga tetapi menahan diri daripada perbuatan sia-sia.  Ibadat puasa membentuk manusia agar bersabar, taat dan bersyukur kepada Allah S.W.T.  Puasa juga baik untuk kecergasan dan kesihatan serta membolehkan kita mengukur ketahanan badan dan jiwa dari godaan.” 
Walaupun aku jauh dan sendiri, aku boleh berdikari dan berusaha untuk menjadi umat mukminin yang mematuhi suruhannya dan menjauhi larangannya.  Setakat hari keempat ini, belum ada tanda-tanda aku perlu menghentikan puasa.  Seperti tahun-tahun yang lepas, aku terpaksa tidak berpuasa kerana penyakit lamaku tetap ada pada hari pertama sehingga Ramadan berakhir aku tidak dapat melunaskan kewajipan itu walau sehari dan ini membuat aku sedih.  Kekecewaan tetap ada dalam hatiku.  Aku tidak boleh membohongi hatiku saat itu terlalu terluka, aku ingin berpuasa tetapi telah ditakdirkan aku perlu bersabar dan redha.  Aku membaca lagi…
“Orang-orang yang wajib membayar fidyah kerana meninggalkan puasa adalah orang yang mengalami sakit berpanjangan, orang tua yang sentiasa sakit dan orang yang terpaksa berkerja keras sepanjang masa.  Manakala orang yang wajib qada dan membayar fidyah adalah perempuan mengandung dan perempuan yang menyusukan anak.  Kepada mereka yang melambatkan qada puasa sehingga tiba bulan Ramadan seterusnya, maka wajib untuk mereka qada dan membayar fidyah.”
Sejak baligh, setiap tahun aku wajib membayar fidyah kerana ia wajib bagi orang uzur dan aku tergolong dalam kategori itu.  Aku mengalami sakit yang berpanjangan dan aku amat berharap akan ada suatu hari aku tidak mengalaminya.
Aku membelek buku dan meneruskan pembacaan…
Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah makan dan minun dengan sengaja pada waktu berpuasa.  Muntah dengan sengaja.  Datang haid atau nifas, melahirkan anak, mengeluarkan mani dengan sengaja, gila walaupun sebentar, pitam atau pengsan sepanjang hari, murtad dan sengaja memasukkan sesuatu ke dalam rongga mulut.  Haram berpuasa bagi wanita yang di datangi haid dan nifas.”
Jika dulu aku tidak faham kenapa kakak Ida tidak berpuasa tapi sekarang aku tidak perlu menyoal tentang itu lagi.  Sememangnya puasa sebulan tidak akan penuh bagi seorang perempuan.  Itu satu hakikat dan bertuah bagi sesiapa yang dapat memenuhkan puasa sebulannya.  Saat itu ada satu rasa kegembiraan dalam diri!  Saat itu akhirnya hadir pada 4 hari yang lalu.  Walaupun tidak tentu aku dapat berpuasa sebulan tetapi sekurang-kurangnya aku sudah merasai puasa dalam sehari.
“Noris, Ayah kamu dah berpesan dengan cikgu.  Kamu tidak boleh begini, jangan menyeksa diri meneruskan puasa yang memudaratkan diri sendiri.”  Aku melihat wajah cikgu Siti.  Ada kesayuan dalam hatiku, sudah di pesan kepadanya oleh ayah setiap kali Ramadan menjelma, cikgu Siti akan mengawasiku di asrama sekolah.
“Saya tak apa-apa cikgu.”  Ujarku menahan kesengsaraan jiwa.
“Tapi, muka kamu pucat sangat!  Pergilah berbuka.”  Suruhnya.  Aku enggan.
“Jangan berdegil Noris… Kamu perlu pentingkan kesihatan sendiri.  Puasa ni bukan bertujuan untuk menyeksa diri kita, ia untuk membersihkan jiwa dan badan selain perut kita yang selama ini dipenuhi dengan pelbagai makanan.  Tapi bagi keadaan kamu, adalah lebih baik kamu berbuka sebelum memudaratkan diri.”  Aku diam.  Kesedihan hatiku hanya aku yang rasa.  Keinginan hatiku hanya aku yang tahu. 
“Dengar cakap cikgu, jangan memaksa diri.  Kamu perlu…”  Itu kata-kata akhir cikgu Siti yang ku dengar sebelum aku pitam.  Aku di tahan di wad selama 3 hari.  Kedegilanku membuatkan badanku lemah dan dipenuhi berselirat dengan tiub-tiub hospital, bercampur dengan bau-bau ubat yang menyesakkan!  Bila begini hanya ada kekecewaan dalam hatiku, airmata cuba ku tahan.  Kenapa aku seorang saja dalam keluarga yang sakit begini?  Aku tidak mengerti tetapi aku cuba bertahan dari terus menangisi nasib diri.  Sentiasaku bersoal bilakah Ramadan pertamaku akan menjelma?
Ramadan yang berlalu, aku sudah beringat!  Aku tidak mahu menempuh dan menyusahkan diri sendiri.  Jika itu kehendak Allah S.W.T., Aku redha, Aku tidak dapat mengubahnya kecuali berdoa dan usaha.  Satu syarat puasa iaitu berkeupayaan untuk mengerjakan puasa dan keadaanku tidak tergolong dalam syarat-syarat sah puasa.  Pembacaanku teruskan walaupun sesekali ingatanku terbabas pada kisah lalu…
“Hikmat berpuasa ialah menyihatkan badan, melatih diri kasihan pada yang fakir, menundukkan nafsu jahat, patuh pada perintah Allah S.W.T., dan melindungi diri dari perbuatan keji…” Untuk pengetahuanku sendiri…
“Hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu, Hari Raya Puasa (1 Syawal), Hari Raya Haji (10 Zulhijjah), Hari Tasyrik (11,12,13 Zulhijjah) dan Hari Syak (30 Syaaban)”  Aku mencongak-congak mengingati tarikh-tarikh tersebut.
Dentingan jam membuat aku tersedar, waktu berbuka menghampiri, aku meletakkan buku bimbingan puasa yang banyak membantuku itu sejak dulu dan menyediakan juadah berbuka.  Siapa menduga tahun ini adalah Ramadan pertamaku yang membawa satu kegembiraan dan nikmat bila buat pertama kalinya aku dapat berpuasa penuh sehari, sesuatu yang selama ini ku tunggu-tunggu.  Ramadan pertama yang inginku rasai dan sangat-sangatku nantikan selama ini.  Ramadan pertama yang menghilang sejak bertahun lamanya.  Dan, Ramadan pertama ini banyak membuatku mencari kepastian pada suratan Ilahi yang banyak menerokai rahsia kebahagiaan hatiku sendiri bila aku tidak berputus asa untuk berusaha agar puasa kali ini termakbul. 
Aku tidak lupa saat menjamah juadah berbuka pada hari pertama yang lalu dalam suasana sebak dan gembira tanpa serangan sakit lamaku.  Betapa aku bersyukur walaupun dalam keadaan berisiko sakit aku masih mampu memenuhi tuntutan agama sehingga membuatku percaya, usaha, kesungguhan dan doa untuk membuat apa yang tidak dirasai sejak dulu menjadi satu kekuatan pada Ramadan kali ini.  Satu cabang perubahan dalam diri sendiri.  Alhamdulillah!  Aku bersyukur Ramadan pertamaku akhirnya menjelma. 
Sesungguhnya kisah-kisah silam tidak dapat dipadamkan dari kotak memori ingatan.  Satu yang membuat aku sedar, kini aku sudah boleh meneruskan puasa sehari dan ada kegembiraan dan nikmat di dalam hatiku setiap kali memasuki waktu berbuka.  Sesuatu yang membuat aku bersemangat, tidak sabar untuk bersahur semula.  Ada kenikmatan pada setiap hari yang telah berlalu bersama kenangan masa lalu yang merupakan saat sukar untuk ditempuhi dan dilupakan.   Alhamdulillah!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Catat Ulasan